BAB 3

HarithMzzJun 20268 min read

Untuk geng yang ber-ship lebih kuat daripada yang bercinta.

Aisy sampai Lab 3 pukul sembilan empat puluh, dua puluh minit awal, sebab dia jenis yang awal walaupun untuk benda yang dia benci. Dia susun meja: laptop tengah, buku nota kiri, fail metodologi kanan, pen tersusun ikut warna macam tentera kecil. Dia uji kerusi tetamu — goyang sikit. Dia tukar dengan kerusi lain yang tak goyang, sebab kalau Aiman duduk kerusi goyang dia akan nampak macam Aisy tak siap urus benda kecil, dan Aisy lebih rela mati daripada nampak tak bersedia. Dia tampal jadual Gantt yang dia print malam tadi atas dinding cubicle. Dia letak dua botol air — satu untuk dia, satu untuk… tak, dia angkat balik botol kedua. Dia tak nak Aiman ingat dia datang dengan niat baik. Dia datang dengan niat survive empat puluh peratus, dan tak lebih.

Rancangan dia ringkas: buat semua sendiri. Bagi Aiman tugas yang nampak penting tapi sebenarnya boleh dibuang — macam "format rujukan" atau "semak typo" — supaya nama dia ada, tapi tangan dia jauh dari benda yang betul-betul penting. Aisy dah biasa. Sepanjang hidup dia, dia handle orang yang dia tak boleh harap dengan cara ni. Bagi dia-orang ilusi sumbangan. Senyum. Buat sendiri lepas dia-orang balik.

Pukul sepuluh kosong lima, Aiman masuk. Lima minit lewat, tepat macam dia kira lewat tu pun guna kalkulator. Hoodie sama, atau hoodie lain yang sama je rupa. Dia tengok jadual Gantt atas dinding, tengok pen yang tersusun ikut warna, tengok muka Aisy yang dah siap dengan senyum perang.

"Wah," dia kata. Satu patah. Datar. Tapi Aisy tak boleh decode sama ada "wah" tu kagum atau ejek, dan ketidakpastian tu buat dia lagi geram.

"Duduk." Aisy tolak satu kerusi dengan kaki. "Aku dah pecahkan tugas. Kau handle bahagian—"

"Aku baca dulu." Aiman duduk, tarik fail metodologi tu dekat, dan — tak sangka — dia betul-betul baca. Aisy tunggu dia skim, flip, buat bunyi bosan. Tapi dia baca. Mata dia gerak laju. Dia belek balik dua muka surat, berhenti kat satu rajah, kerut dahi sikit. Aisy rasa pelik tengok orang yang dia dah putuskan malas buat benda yang tak malas.

"Kenapa?" dia tanya, defensif.

"Takde." Aiman tutup fail. "Bagus."

Bagus. Macam dia ada hak nak nilai. Macam pendapat dia tentang kerja Aisy ada berat. Aisy rampas balik fail tu. "Aku tak tanya pendapat kau. Aku cakap aku dah bahagikan tugas. Kau buat bahagian rujukan dan—"

"Okay."

"—jangan sentuh dataset, sebab tu—kejap. Okay?"

"Okay." Aiman dah keluarkan telefon. "Aku buat rujukan. Kau buat semua. Aku tak kisah."

Dan itulah masalahnya. Dia tak kisah. Aisy nak gaduh, dan dia perlukan seseorang untuk lawan balik supaya gaduh tu jadi. Tapi Aiman macam tembok span — kau tumbuk, dia lekuk, lepas tu kembang balik macam tiada apa. Geram yang takde sasaran tu paling teruk. Ia pusing balik kat kau.

Jadi Aisy buat apa yang orang matang buat. Dia berhenti bercakap dengan Aiman, dan mula tampal post-it.

Post-it pertama, dia lekat atas dataset: "JANGAN SENTUH. — A"

Sejam kemudian dia balik dari surau, ada post-it baharu di sebelahnya, tulisan cakar ayam: "tak sentuh pun. relax. — A juga"

Aisy kerut. Dia tulis: "Ada DUA orang A di sini. Tulis nama penuh."

Balas: "Aiman. Tapi kau dah tahu kan. Sebab kau benci aku dengan sangat teliti."

Aisy tulis, geram: "Aku tak benci kau. Aku cuma tak ada masa nak suka kau."

Balas, dan dia boleh dengar nada datar tu walaupun ia cuma tulisan: "itu yang paling baik aku pernah dengar minggu ni. terima kasih."

Aisy rampas pad post-it tu, simpan dalam beg supaya dia tak boleh balas. Menang. Walaupun dada dia entah kenapa rasa macam dia kalah.

Lebih kurang tengah hari, pintu lab terkuak dan dua bencana masuk serentak.

"AISYYY." Qaseh, dengan dua kotak nasi ayam. "Aku bawa makanan sebab aku tahu kau lupa makan. Lagi-lagi bila kau stress. Lagi-lagi bila stress kau ada—" mata Qaseh jatuh atas Aiman, "—muka."

Pada masa yang sama, dari pintu yang sama, seorang lelaki masuk sambil makan kerepek. "Aiman. Aku bawa kerepek sebab kau hutang aku sandwich." Haziq berhenti. Pandang Qaseh. Pandang kotak nasi ayam. Pandang situasi. "Eh. Kau pun jaga budak ke?"

"Aku bukan budak," Aisy dan Aiman cakap serentak, dari dua hujung meja, dan kemudian saling pandang dengan rasa benci yang baharu sebab terkata serentak.

Qaseh dan Haziq tukar pandangan. Aisy nampak benda tu berlaku — nampak dua orang yang baru je jumpa, yang tak sepatutnya ada apa-apa kena-mengena, tiba-tiba jadi satu pasukan dalam masa kurang dari tiga saat. Macam dua ejen rahsia dari agensi berbeza sedar dia-orang ada misi yang sama.

"Aku Qaseh," kata Qaseh, sambil pandang Haziq dengan muka acah-acah serius tapi dengan niat berkawan.

"Haziq." jugak sama. "Kau nampak benda yang aku nampak tak?"

"Aku dah nampak sejak semalam," kata Qaseh. "Aku dah ada popcorn."

"Aku pun ada popcorn."

"OKAY," Aisy bangun, halau dua-dua keluar dengan kotak nasi ayam dia masih dalam tangan. "Terima kasih atas makanan. Kami ada kerja. Keluar. Pergi. Shoo."

Di muka pintu, Qaseh pusing kat Haziq dan berbisik — bisik yang sengaja kuat, jenis bisik teater yang seluruh lab boleh dengar. "Kau perasan tak dia-orang duduk dua hujung meja tapi dua-dua condong ke tengah?"

"Aku dah ambil gambar," balas Haziq, sama kuat.

"Keluaaar." Aisy tutup pintu depan muka dua-dua.

Dia sandar kat situ, nafas tak menentu, dan bila dia pusing balik, Aiman tengah pandang dia dengan sesuatu yang bukan ejekan. Hampir macam… geli hati. Yang dia simpan, tak lepas. Dan entah kenapa Aiman geli hati yang tak lepas tu lebih mengganggu daripada Aiman yang ejek terang-terang.

"Kawan kau," kata Aiman.

"Kawan kau," balas Aisy.

"Dia-orang dah kahwinkan kita dalam kepala dia-orang."

"Jangan." Aisy duduk semula, hidup laptop. "Jangan sebut perkataan tu. Kita kerja."

Petang tu, dalam diam yang dipecah hanya oleh ketukan keyboard dan kipas siling yang berpusing malas, Aisy curi-curi buka fail rujukan yang dia bagi Aiman — tugas yang dia pilih sebab ia tak penting, sebab dia boleh repair tanpa rasa rugi. Dia jangka jumpa kerja sambil lewa: format salah, entri tak lengkap, benda yang dia kena betulkan lepas Aiman balik.

Tapi fail tu kemas. Bukan sekadar kemas — Aiman dah susun rujukan ikut tema, bukan ikut abjad, dan letak nota kecil di tepi tiga sumber: "ni dah retracted 2021. jangan guna." Aisy memang nak guna salah satu daripada tiga tu. Kalau dia guna, panel boleh sembelih dia masa viva.

Dia pandang belakang kepala Aiman, yang sekarang betul-betul nampak macam tidur. Macam mana orang yang tak peduli boleh perasan benda yang aku terlepas pandang? Itu tak masuk dalam kira-kira Aisy. Dalam dunia Aisy, orang pandai mesti rajin, dan orang malas mesti cuai. Aiman langgar dua-dua hukum tu sekali gus, dan benda yang langgar hukum susah nak benci dengan kemas.

Dia juga perasan — sepanjang petang, Aiman duduk satu kerusi jauh. Bila dia nak tunjuk sesuatu kat skrin, dia tak condong dekat; dia tarik kertas keluar, atau tunjuk dari jauh dengan hujung pen. Mula-mula Aisy ingat dia jijik. Lepas tu dia perasan Aiman buat benda sama dengan Haziq, dengan semua orang — jarak tu bukan pasal dia. Itu cuma cara Aiman jalan dunia. Dan entah kenapa, benda kecil tu — jarak yang dijaga tanpa diminta — buat Aisy rasa selamat dengan cara yang dia tak nak namakan.

Dan dia kerja. Dia kerja sampai pukul tiga, sampai pukul lima, sampai matahari dah serong masuk tingkap lab dan buat debu nampak macam ia hidup. Dia stuck. Dataset dia tak nak converge — ada sesuatu dalam model dia yang buat angka melompat tiap kali dia run, dan dia dah ulang enam kali, tukar parameter, baca balik kod baris demi baris sampai mata dia pedih.

Tujuh kali. Lapan. Setiap kali angka tu melompat, suara dalam kepala dia jadi lebih kuat — suara yang dia kenal sejak sekolah, suara yang pakai nada lembut tapi cakap benda kejam: kau dah baca empat belas jurnal dan kau tak boleh selesaikan loop sendiri? Budak Tahun Satu pun boleh. Kau tahu kenapa kau tak boleh? Sebab kau bukan pandai. Kau cuma kuat berlakon. Dia rasa air mata dah dekat. Bukan sebab kod. Sebab kalau dia tak boleh selesaikan benda ni, mungkin betullah. Mungkin dia memang naik sebab muka.

Aiman, yang sepanjang hari dia ingat tengah scroll telefon, tiba-tiba bersuara. "Kau normalize data tu dua kali."

Aisy berhenti. "Apa?"

"Kau dah normalize dalam preprocessing. Lepas tu kau panggil function tu sekali lagi dalam loop." Dia tak pandang dia pun. Dia pandang siling, tangan belakang kepala, macam dia cakap pasal cuaca. "Buang yang dalam loop tu. Angka kau akan duduk diam."

Aisy pandang skrin. Scroll. Dan — di sana. Baris empat puluh tiga. Function yang dia panggil dua kali. Dia buang yang kedua. Tekan run.

Angka converge. Cantik. Diam. Macam tak pernah ada masalah.

Dia pusing pandang Aiman, dan untuk seketika dia lupa dia patut benci dia. "Macam mana kau—kau tak tengok skrin aku pun sepanjang hari."

Aiman angkat bahu, masih pandang siling. "Aku tengok. Kau yang tak perasan."

"Kalau kau dah nampak sejam lepas, kenapa kau tak cakap?" Suara Aisy keluar lebih tajam dari yang dia niat. "Kau biar aku run enam kali."

"Tujuh." Aiman akhirnya pandang dia, dan untuk sekelip mata muka dia bukan malas — ada sesuatu yang lebih dalam, yang hilang sebelum Aisy sempat baca. "Kau jenis yang kena jumpa sendiri dulu baru kau percaya. Kalau aku cakap awal, kau ingat aku tolong sebab aku ingat kau tak mampu. Lepas tu kau marah aku sampai esok." Dia tutup beg. "Aku tak larat nak kena marah sampai esok. Aku malas."

Aisy buka mulut nak balas, tapi tak ada apa nak balas. Sebab dia betul. Sebab itu tepat apa yang dia akan buat. Dan fakta yang Aiman — yang dia ingat tak peduli apa-apa — boleh baca dia macam tu, dalam satu hari, lebih menakutkan daripada dataset yang melompat.

Dia bangun, sandang beg, dan keluar tanpa selamat tinggal — sebab itu jenis dia. Tapi bila Aisy pusing balik ke meja, dia jumpa satu post-it baharu, dilekat atas keyboard dia, tulisan cakar ayam yang dia dah mula kenal:

"code kau okay. Kau cuma penat. Tidur. — Aiman"

Aisy duduk lama pandang post-it tu. Dia patut koyak. Dia patut buang. Sebaliknya dia lekat dalam buku nota dia, antara muka surat, di tempat yang tiada siapa akan jumpa, dan dia tak nak fikir pun kenapa.