BAB 1

HarithMzzJun 20268 min read

Untuk sesiapa yang berlari pantas — sebab dia takut apa yang dia jumpa kalau dia berhenti.

Pukul lapan empat puluh tiga pagi, dan Aisy Humaira sudah pun gagal tiga kali hari ini.

Gagal pertama: tertumpah kopi tiga-dalam-satu atas baju kurung putih, tepat sebelum keluar kolej. Gagal kedua: lupa charger laptop, terpaksa patah balik, hampir terlanggar pintu kaca yang dia sumpah ada nama dia tertulis kat situ sebab dah lima kali bulan ni. Gagal ketiga — ni yang paling epik — dia jatuhkan seluruh tray dokumen FYP di tangga Fakulti, dan sekarang dua puluh empat muka surat literature review dia sedang melayang macam burung yang baru lepas dari sangkar.

"Astaghfirullah. Eh. Eh!" Dia cangkung, kejar kertas yang seekor demi seekor menyusup bawah kasut orang. "Maaf, tumpang lalu, sorry, itu saya punya—aduh."

Tiga orang junior lalu, langkah je kertas dia. Salah seorang pijak. Aisy tengok tapak kasut hitam tu melekap dekat ayat yang dia tulis pukul dua pagi semalam, dan dia paksa diri senyum. Takpe. Takpe, Aisy. Print balik. Lima sen je sehelai. Lima sen kali dua puluh empat, sama dengan— otak dia tak nak kira. Otak dia tak pernah nak kira benda yang penting.

Inilah dia. Tahun akhir. Sem terakhir. Tiga subjek, satu FYP yang berat macam gunung, satu badan persatuan yang dia jadi setiausaha (sukarela, sebab tak reti cakap tak), dan satu hati yang setiap malam bisik benda yang sama: kau ni bukan pandai pun. Kau cuma rajin. Dan rajin tu lambat laun akan tertangkap juga.

Dia kemas kertas, susun ikut nombor muka surat — dia memang susun ikut nombor, sebab kalau tak susun dia rasa macam dunia akan runtuh — dan berdiri. Beg sandang tergantung satu bahu, tray dipeluk macam bayi, botol air terselit ketiak. Klasik Aisy. Bawa sepuluh benda dalam dua tangan sebab minta tolong tu rasa macam mengaku kalah.

Sem lepas, masa group assignment Sistem Pangkalan Data, dia ambil bahagian semua orang. Bukan sebab dia tak percaya kawan-kawan dia — okay, sebab dia tak percaya. Tapi yang dia cakap kat diri sendiri ialah "senang aku buat, daripada aku kena betulkan." Dia siapkan dua minggu awal, hantar dalam group chat dengan emoji jempol, dan semua orang balas "terbaik Aisy" dan "kau memang power" dan dia rasa hangat lebih kurang empat saat. Lepas tu hangat tu sejuk, sebab dia tahu — kalau aku tak buat, dia-orang mungkin buat sama bagus. Atau lagi bagus. Dan aku akan jadi tak penting. Jadi dia pastikan dia sentiasa penting. Dia pastikan tiada siapa boleh ganti dia. Itu bukan kekuatan. Itu pagar. Tapi pagar yang cantik, sebab orang ingat dia rajin — bukan takut.

Dia perlu print balik sebelum kelas Dr. Suraya pukul sembilan. Bilik fotostat ada kat tingkat bawah, sebelah makmal. Dia turun tangga laju-laju, mulut dia dah mula susun senarai: print, staple, masuk kelas, jangan lewat, jangan jadi orang yang lewat, sebab orang yang lewat tu orang yang—

Dia berhenti.

Sebab dari celah pintu makmal yang terbuka separuh, dia dengar nama dia.

"...Aisy Humaira?" Suara lelaki. Syafiq. Dia kenal suara tu — classmate yang selalu cakap kuat dalam kelas supaya pensyarah ingat dia. "Kau serius nak compete dengan dia untuk slot grant tu? Bro. Dia tu naik sebab muka. Project dia okay je. Bukan otak pun—"

Dan kemudian satu suara lagi. Lebih perlahan. Malas. Macam orang yang baru bangun tidur walaupun dah tengah hari. Suara yang Aisy kenal juga, dan benci secara prinsip walaupun dia tak pernah betul-betul bersembang dengan tuannya.

Aiman Danial.

Aisy dengar dia cakap, jelas, tenang, macam fakta:

"...naik sebab muka, bukan otak."

Dada Aisy buat satu benda pelik. Macam lif yang putus tali. Jatuh, tapi tak sampai-sampai bawah.

Dia tak dengar apa-apa lepas tu. Tak nak dengar. Telinga dia macam terus tutup sendiri, sebab kadang-kadang badan tahu sebelum otak — tahu yang kalau dengar lagi satu ayat, kau akan menangis kat tangga Fakulti depan tiga puluh orang, dan itu lagi memalukan daripada baju bercop kopi.

Naik sebab muka, Bukan otak.

Dia patah balik. Tray dipeluk lebih kuat. Dia naik tangga semula, dua anak tangga satu langkah, dan dia tak tahu pun dia nak pergi mana — dia cuma nak jauh dari pintu makmal tu, jauh dari suara malas yang sebut perkara yang dia paling takut orang fikir tentang dia.

Dia sampai bilik fotostat, dan tangan dia buat kerja sendiri sebab otak dah ke lain. Buka fail. Pilih dua puluh empat muka surat. Tekan print. Mesin tu mengerang, hidupkan diri, keluarkan kertas satu persatu — panas, segar, macam tiada apa-apa berlaku, macam dunia tak baru je beritahu dia yang semua usaha dia ni cuma muka. Dia kemas helaian. Stapler tersangkut. Dia tekan lagi kuat, dawai bengkok, terpacul keluar dan cucuk hujung jari dia. Setitik darah. Comel betul. Dia hisap jari tu dan ketawa kecil pada diri sendiri, ketawa jenis yang tak sepatutnya ada orang dengar.

Sebab inilah benda paling tak adil: dia boleh tahan kata-kata kejam. Dia dah biasa. Yang dia tak boleh tahan ialah kemungkinan kata-kata tu betul.

Sebab inilah rahsia Aisy yang dia simpan rapi bawah semua gelak besar dan mulut laju tu: dia pun tak yakin dia layak. Setiap A yang dia dapat, dia ingat ia kebetulan. Setiap kali pensyarah puji, dia tunggu hari mereka sedar mereka salah orang. Dia kerja kuat bukan sebab dia rasa dia bagus. Dia kerja kuat sebab dia takut — takut kalau dia berhenti sekejap je, semua orang akan nampak yang sebenarnya tak ada apa-apa di sebalik tu.

Dan sekarang Aiman Danial — Aiman Danial, lelaki yang masuk kelas mungkin sekali seminggu, yang tidur masa lecture, yang tak pernah buat assignment sampai malam sebelum hantar, dan entah macam mana tetap dapat markah tertinggi macam alam semesta ni ada bias peribadi dengan dia — Aiman Danial baru je sahkan ketakutan tu dengan suara orang yang tengah cakap pasal cuaca.

"Eh Aisy?" Qaseh tiba-tiba muncul depan dia, sandwich tuna separuh gigit di tangan. Roommate dia. Sahabat dia. Manusia paling kuat menyibuk dalam radius lima kilometer. "Kau okay tak? Muka kau macam baru kena reject paper."

"Aku okay." Aisy senyum. Senyum lebar. Senyum yang dia dah latih bertahun-tahun. "Kenapa pulak tak okay. Aku okay sangat-sangat sampai aku boleh jual keokayan ni kat Shopee."

Qaseh sipi mata. "Kau cakap laju bila kau tak okay."

"Aku memang cakap laju."

"Kau cakap lagi laju."

Aisy tarik nafas. Sebut sikit je, dia putuskan. Sebut versi yang tak buat dia nampak lemah. "Aku terdengar Syafiq dengan… orang… cakap aku naik sebab muka. Bukan otak." Dia ketawa, dan ketawa tu keluar pelik, cangkung sikit kat hujung. "Lawak kan. Aku ada muka ke."

"Siapa orang?" Mata Qaseh dah jadi mode pendakwa.

"Tak penting."

"Aisy."

"Aiman Danial." Nama tu rasa pahit. "Puas?"

Qaseh berhenti kunyah. "Si lazy genius tu? Yang—"

"Yang tu." Aisy tolak Qaseh perlahan, jalan menuju kelas walaupun masih ada dua belas minit. Dia tak boleh berhenti. Kalau dia berhenti, dia akan rasa. "Sudah. Aku tak nak fikir pasal dia. Aku ada presentation proposal pukul sembilan dan aku ada dua puluh empat muka surat yang baru kena pijak junior. Priority, Qaseh. Priority."

"Hmm." Qaseh jalan sebelah dia, kunyah sandwich macam dia tengah tonton drama. "Tapi kau tahu tak, Aiman tu… secara objektif… "

"Jangan."

"…lawa." Qaseh angkat tangan, defensif. "Aku cakap secara saintifik je. Macam, sebagai fakta alam. Macam matahari panas. Aku bukan team dia. Aku team kau. Tapi muka dia tu—"

"Qaseh. Dia baru kata aku takde otak."

"Aku cuma cakap kalau korang gaduh-gaduh ni jadi macam drama Astro, aku dah ada popcorn." Qaseh senyum lebar, dan Aisy tahu dia bergurau separuh, tapi separuh lagi tu yang menakutkan. Qaseh ada deria pelik untuk benda macam ni. Macam radar. "Dah, dah, aku diam. Pergi presentation kau. Tunjuk yang otak kau besar macam ego Syafiq."

Yang peliknya — dan ni yang Aisy tak nak akui pun pada diri sendiri — bukan ayat Syafiq yang melekat. Syafiq memang selalu cakap benda macam tu. Mulut dia memang takat situ. Yang melekat ialah suara Aiman. Sebab Aiman tak macam Syafiq. Aiman tak pernah cuba pun. Dan bila orang yang tak pernah cuba pandang rendah pada orang yang cuba sampai tak tidur, itu bukan penghinaan biasa. Itu macam alam semesta gelak depan muka kau.

Dia masuk kelas. Susun kertas — yang melekat tapak kasut tu dia letak paling bawah, supaya tak nampak. Dia tarik laptop. Tangan dia menggeletar sikit dan dia paksa ia diam. Tawakkal, mak dia selalu cakap. Buat habis-habis, lepas tu serah pada Allah. Tapi macam mana nak serah, kalau hati kau tak yakin yang "habis-habis" kau tu cukup?

Dr. Suraya masuk pukul sembilan kosong kosong. Selalu. Perempuan tu macam jam atom. Tinggi, rambut bersanggul ketat, kaca mata yang dia tarik turun bila dia nak pandang seseorang macam nak baca DNA dia.

"Pagi." Dr. Suraya letak fail atas meja. Tak senyum. Dr. Suraya senyum mungkin tiga kali setahun dan dua daripadanya masa orang gagal. "Saya tak nak buang masa. Hari ini saya akan umumkan pasangan untuk FYP."

Bilik bising sekejap. Aisy luruskan badan. Ni dia tahu. Ni dia boleh kawal. Dia dah email Dr. Suraya tiga kali tentang topik dia, dia dah baca empat belas jurnal, dia dah ada draf metodologi — dia prepared. Asalkan dia tak kena dengan orang yang malas, orang yang akan biar dia pikul semua. Dia dah cukup pikul semua sepanjang hidup dia. Sekali ni, satu kali ni, biarlah dia dapat partner yang—

"Saya pasang ikut kekuatan yang saling melengkapi," kata Dr. Suraya, buka fail. "Bukan ikut kawan. Bukan ikut selesa. Ada antara kamu yang kuat teori. Ada yang kuat… katakanlah, eksekusi terakhir." Dia tarik kaca mata turun. Pandang seluruh bilik. "Dua-dua kena belajar daripada satu sama lain. Itu maksud universiti."

Dia mula baca senarai. Nama demi nama. Aisy tunggu nama dia, jari ketuk-ketuk meja, doa kecil bermain dalam kepala — ya Allah bagi aku partner yang serius, bagi aku partner yang aku boleh trust, bagi aku sesiapa, sesiapa pun janji bukan—

"Aisy Humaira."

Dr. Suraya angkat muka.

Dan sebelum dia sebut nama kedua, pintu kelas terkuak. Lambat. Selamba. Seorang lelaki masuk dengan hoodie kelabu, tangan dalam poket, rambut macam baru kalah perang dengan bantal, langkah orang yang tak pernah dalam hidup dia rasa cemas tentang apa-apa.

Aiman Danial.

Dia tak minta maaf sebab lewat. Dia cuma cari kerusi kosong, dan satu-satunya kerusi kosong dalam bilik tu — sebab Aisy semestinya, semestinya, hari ini, dari semua hari — adalah kerusi sebelah Aisy.

Dr. Suraya tengok Aiman. Tengok Aisy. Dan buat pertama kali pagi tu, perempuan tu senyum.

"Aiman Danial," kata Dr. Suraya, dan Aisy rasa lif dalam dada dia putus tali sekali lagi. "Sempurna. Kamu berdua satu kumpulan."nama saya muhammad harith bin madzuki